A top book recommendation from the prime minister of Malaysia
Tengah hari tadi, saya sempat curi masa menekuni karya terbaharu oleh James Marriott, ‘The New Dark Ages: The End of Reading and the Dawn of a Post-Literate Society’, yang mengangkat persoalan besar dan mendesak tentang kemerosotan budaya membaca dan menelaah, kedangkalan pemikiran dan masa depan peradaban dalam era dan arus digital masa kini.View quoted post on X
Saya turut menghimbau bagaimana pemergian pujangga besar Perancis Victor Hugo pada 1885 yang menyaksikan sekitar dua juta manusia membanjiri kota Paris untuk memberikan penghormatan terakhir. Begitu juga Fyodor Dostoevsky pada 1881, apabila puluhan ribu rakyat mengiringi jenazahnya di Saint Petersburg, dan ia secara tidak langsung membuktikan masyarakat ketika itu menyanjung tinggi kesusasteraan, budaya, tradisi ilmu dan pemikiran. Kedua-dua mereka bukan dari kalangan raja mahupun panglima perang yang menang perang, tetapi tokoh dan sarjana yang pemikirannya telah meresap jauh ke dalam jiwa dan sanubari masyarakat.
Marriott juga mengingatkan bahawa ancaman kepada peradaban bukan semata soal hilangnya akses kepada ilmu, malah berlaku lambakan, tetapi juga lunturnya kecintaan dan kesabaran untuk membaca, merenung, dan berfikir secara kritis dan mendalam.
Kita mungkin semakin kaya dengan maklumat, namun miskin dan papa dalam kebijaksanaan. Justeru, persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir.
#YakinMADANI